Tuesday, August 5, 2008

PBB TAWAR AT TIRI KEPADA MALCON III

Photobucket
Abu Seman Yusof (kanan) bersama Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor (dua dari kanan) mengucapkan selamat jalan kepada sebahagian anggota MALCON III di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam.
SUBANG 29 Julai - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menawarkan kepada pasukan pengaman Malaysia untuk mengawasi At Tiri di kawasan barat Lebanon.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, tawaran itu dibuat ekoran komitmen serta kejayaan pasukan pengaman negara dalam menjayakan misi keamanan di negara tersebut.

Menurutnya, PBB menawarkan kawasan itu untuk diawasi oleh tentera Malaysia kerana yakin dengan kemampuan dan keupayaan negara memastikan keamanan di bumi bergolak itu.

"Tawaran itu merupakan satu pengiktirafan kepada kita, bagaimanapun keputusan untuk menerima tawaran itu akan diputuskan oleh Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi.

"Saya percaya Kabinet akan meluluskannya kerana selama ini Malaysia tidak pernah menolak tawaran PBB untuk terlibat dalam aktiviti menjaga keamanan antarabangsa,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penghantaran Kontinjen Malaysia (Malcon III) ke Lebanon di sini hari ini.

Malcon III akan menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) bagi meneruskan kesinambungan penglibatan Malaysia dalam mengembalikan keamanan di negara itu.

Malcon III dianggotai seramai 360 anggota tentera termasuk 10 wanita yang akan menggantikan Malcon II yang bakal menamatkan tugas mereka pada 30 Julai ini setelah berkhidmat sejak Oktober tahun lepas.

Abu Seman berkata, At Tiri adalah satu kawasan yang mencabar berbanding kawasan Kaukabah yang diawasi oleh tentera Malaysia sekarang.

"Pasukan Malcon West yang terdiri daripada 230 anggota tentera dijangka dihantar melaksanakan misi itu pada Oktober ini,'' jelasnya.

Oleh MUHAMMAD ZULKIFLI SAINU DDIN

1 comment:

Unknown said...

Salam , saya baru je dpat result spm 2009 , berminat la nak join malcon nanti macam mana? kos ape yg patut diambil?