Tuesday, August 5, 2008

EKSESAIS BERSATU AMAN RAPATKAN HUBUNGAN ATM, PDRM

Photobucket
Panglima ATM , Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tiba pada pelancaran Eksesais Bersatu Aman Siri 1/2008 di Maktab PDRM Cheras.

TIDAK dinafikan tugas pasukan keselamatan terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya penting bagi menjaga keamanan negara.

Menyedari hal itu, kedua-dua pasukan keselamatan itu baru-baru ini telah berganding bahu melancarkan Eksesais Bersatu Aman Siri 01/2008 sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan keselamatan ketenteraman awam.

Eksesais itu yang menggabungkan PDRM dan ATM buat pertama kalinya diadakan selama seminggu bermula 2 hingga 7 Julai lalu.

Antara objektif utama ia diadakan adalah bagi menggabungkan tenaga kedua-dua pasukan keselamatan dalam menangani situasi ketenteraman awam yang berkemungkinan mampu mengancam keselamatan dalam negara.

Ia juga merupakan satu kerjasama yang mewujudkan semangat setiakawan antara kedua-dua pihak dalam menyusun strategi dan perancangan untuk melaksanakan tanggungjawab supaya keselamatan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

Ini selari dengan apa yang digariskan dalam Public Order Manual (POMAN) 1971.

Kerjasama melalui eksesais itu juga bertujuan menguji keberkesanan dalam aspek perintah, kawalan, komunikasi serta pertukaran dan penyaluran maklumat risikan.

Eksesais itu dimulakan dengan latihan pemetaan dan penyelarasan arahan pemerintahan melibatkan kawasan Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Pendekatan Mapping Exercise (Mapex) iaitu latihan yang memaparkan situasi ancaman melalui simulasi dan Command Post Exercise (CPX) iaitu satu bentuk latihan penyelarasan perintah digunakan dalam pelaksanaan eksesais itu.

Aset ATM yang terlibat dalam eksesais itu adalah dalam bentuk peralatan komunikasi dan logistik dan disertai beberapa pasukan briged yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Bagi ATM, eksesais tersebut merupakan satu peluang terbaik bagi mengukuhkan kerjasama dengan PDRM dalam memastikan ketenteraman awam terjaga.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, peranan ATM adalah untuk membantu menjamin keselamatan awam.

“Aktiviti seperti itu perlu dibuat supaya mekanisme perintah dan kawal dapat dilaksanakan dengan jaya apabila wujud sesuatu situasi yang mengganggu keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran eksesais tersebut bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Maktab PDRM Cheras, baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pada peringkat pertama hanya berlangsung di meja rundingan.

Manakala strategi pelaksanaan sebenar eksesais itu pula dilakukan pada fasa kedua, katanya.

Beliau berkata, perbincangan mengenai kerjasama tersebut sudah diadakan sejak dua tahun lalu dan kini tiba masanya untuk ia dilaksanakan.

Dalam pada itu, Musa menegaskan bahawa pihak PDRM hanya akan menggunakan khidmat ATM dalam sebarang senario ketenteraman awam sekiranya perlu sahaja.

Musa berkata, penglibatan pasukan keselamatan itu hanya akan diperlukan sekiranya situasi sebenar masalah itu menjadi serius.

"Bukan semua usaha menangani demonstrasi atau tunjuk perasaan akan melibatkan ATM. Jika keadaan benar-benar meruncing, maka ia akan melibatkan tentera. Ini hanya sekadar latihan sahaja," katanya.

Katanya, eksesais itu bagaimanapun akan memperkukuhkan koordinasi dan persefahaman kedua-dua pihak dalam aspek logistik dan anggota jika berlaku sebarang ancaman dalam ketenteraman awam.

Musa berkata, hubungan kerjasama kedua-dua pihak dalam eksesais itu amat penting memandangkan masalah ketenteraman awam merupakan cabaran besar kepada pasukan keselamatan hari ini.

Anggota PDRM dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar Lembah Klang terlibat dalam eksesais tersebut.

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

No comments: