Monday, November 26, 2007

PULAU PINANG SEDIA TAMBAH WATANIAH

Pulau Pinang sedia tambah Wataniah
Oleh Shahrin Osman

NIBONG TEBAL: Pulau Pinang bersedia menubuhkan kompeni askar Wataniah di setiap Parlimen bagi menyahut saranan Kerajaan Pusat, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan berhubung perkara berkenaan tidak lama lagi.

Antara lain, perbincangan itu juga akan mencadangkan supaya bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tinggal di negeri ini supaya menganggotai askar Wataniah.

Ketika ini, hanya segelintir masyarakat yang berminat menjadi Askar Wataniah di Pulau Pinang dengan menerima elaun antara RM4 dan RM5 sejam.

"Kerajaan negeri mahukan lebih ramai bekas pelatih PLKN serta pelbagai lapisan masyarakat menyertai Askar Wataniah untuk memastikan negara mampu menghadapi apa juga cabaran termasuk soal keselamatan," katanya.

PERASMIAN PELANCARAN PERDANA KOMPENI ASKAR WATANIAH PARLIMEN JOHOR

Photobucket
Wataniah tingkat modal insan: TPM
Oleh Johan Afandi dan Srihanasham Noordin

JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan menambah keanggotaan Askar Wataniah tidak bermakna Malaysia mahu menjadi sebuah negara tentera atau menunjukkan wujud perubahan dalam senario keselamatan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan menambah bilangan anggota Askar Wataniah yang kini berjumlah 44,000 ialah untuk memastikan negara mampu menghadapi cabaran daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, politik, sosial serta keselamatan.

"Hakikatnya, dalam keadaan negara aman dan makmur ini, persiapan perlu dilakukan supaya negara selamat kerana kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada ekonomi sebaliknya, mesti bertindak komprehensif dan holistik.

"Askar Wataniah adalah barisan kedua dan melengkapi peranan askar profesional dan ia mampu melahirkan modal insan yang mempunyai nilai ketenteraan seperti berdisiplin, menepati waktu serta sentiasa bersedia menerima dan melaksanakan arahan," katanya.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Perdana Kompeni Askar Wataniah Parlimen Johor, di Dataran Bandaraya, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof; Speaker Dewan Undangan negeri, Datuk Ali Hassan; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin. Sementara itu, Najib juga mahu negeri lain supaya mencontohi Johor kerana menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menubuhkan satu kompeni Askar Wataniah dalam semua 26 kawasan Parlimennya.
Najib berkata, penubuhan kompeni Askar Wataniah di setiap Parlimen di negara ini, memang menjadi sasaran Kementerian Pertahanan kerana pasukan keselamatan itu boleh memainkan peranan mempertahankan negara dan membantu ketika bencana berlaku.

"Kita mempunyai satu lagi kumpulan anggota yang berdisiplin dan boleh dikerah untuk kerja menyelamat ketika menghadapi bencana seperti banjir," katanya. "Wakil rakyat sebagai pemimpin masyarakat boleh memainkan peranan dengan turut serta menganggotai Askar Wataniah sekali gus dapat menarik minta anggota masyarakat menyertai pasukan keselamatan," katanya.

Katanya, ATM berharap dapat menarik lebih ramai lagi masyarakat daripada segenap lapisan masyarakat, terutama generasi muda dalam memantapkan pasukan itu.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menaikkan pemberian elaun Askar Wataniah antara RM4 dan RM5 sejam bagi anggota dan pegawai serta meningkatkan kemudahan latihan pasukan itu selain menikmati pelbagai insentif sama seperti anggota tentera.
Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, Johor kini berada di ambang perubahan besar menerusi pelaksanaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang sudah tentu memerlukan tahap keselamatan bertaraf antarabangsa bagi menarik minat pelabur.

"Kerajaan Pusat komited dan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadikan WPI satu kenyataan, termasuk memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan sama ada dari luar atau dalam," katanya.

"Pasukan Askar Wataniah mampu memberi jaminan kepada pelabur dan penghuni WPI, bahawa tahap keselamatan di negeri ini berada dalam keadaan selamat dan terjamin sepenuhnya," katanya.