Tuesday, August 5, 2008

BERSARANYA ‘Sarjan Misai’

Photobucket
Mohd. Dzahar A. Rahman diberi penghormatan untuk memeriksa perbarisan buat kali terakhir.

“BARIS, BARISSS SEDIA! “HORMAT, HORMAT PANGLIMAAA, HORMAT!”. Begitulah antara arahan yang biasa dilaungkan oleh Pegawai Waren I (PW I), Mohd. Dzahar A. Rahman (Tentera Darat - TD) ketika mengetuai sesebuah perbarisan di padang-padang kawad sepanjang tujuh tahun lalu.

Teriakannya yang mampu menggetar jiwa, cukup bagi membuatkan para anggota serta pegawai yang menyertai perbarisan akur, patuh menerima, langsung seragam menghentakkan kaki berkawad.

Apatah lagi di dalam organisasi ketenteraan, arahan dikeluarkan oleh pegawai atau anggota yang lebih tinggi pangkatnya, untuk dipatuhi dan dilaksanakan anggota bawahan.

Namun sedikit berbeza bagi Mohd. Dzahar yang telah lebih tujuh tahun menjadi Sarjan Mejar Rejimen (SMR) TD, ‘kuasanya’ di padang kawad mengupayakan beliau untuk turut mengarah para pegawai (leftenan ke atas) di dalam sesuatu perbarisan.

“ ‘Kuasa’ itu bukan sesuatu yang diminta-minta, atau sesuatu yang boleh ditolak, mahupun sesuatu yang hendak dibanggakan. Ia lebih merupakan satu tanggungjawab berat, yakni menjaga kualiti kawad dan perbarisan anggota serta pegawai TD,” katanya.

Lebih penting, personel TD yang berjawatan SMR merupakan ketua bagi semua perjawatan anggota lain-lain pangkat (LLP, iaitu PW I dan ke bawah) di dalam organisasi itu.

Dalam kes Mohd. Dzahar, beliau telah tujuh tahun menjadi SMR yang antara lain bertanggungjawab memastikan kesemua 89,000 orang anggota LLP di dalam TD sentiasa menjalani, atau sekurang-kurangnya memperagakan personaliti seorang tentera yang mantap.

Dengan misai tebal yang melenting, badan yang tegap, suara kuat dan tegas, kehadiran Mohd. Dzahar di sekitar kem, lebih-lebih lagi di padang kawad, persis seekor singa yang mengungguli belantara - diperhatikan dan pastinya memerhatikan yang lain.

“Memerhatikan bukan kerana dengki atau ‘tidak boleh tengok orang senang,’ tetapi lebih kepada menjaga nama baik TD, bersesuaian dengan pelbagai cogan kata pasukan seperti Gagah Setia dan Marksman Sasaranku,” ceritanya ketika ditemui pada perbarisan persaraannya, baru-baru ini.

Raut wajahnya sedikit sayu, namun kelihatan bersungguh-sungguh beliau cuba menyembunyikannya, mungkin kerana ego si lelaki yang diajar untuk ‘kering hati’ dan lasak di dalam tentera.

Bagaimanapun, jika manusialah namanya, ego sekalipun, ‘kering-kontanglah hatinya’ sekalipun, kesedihan pasti terlihat lebih-lebih lagi setelah lebih 32 tahun ‘menghambakan’ diri di dalam TD.

Begitulah kehidupan tentera, sehingga ada gurauan yang berbunyi: “Kalau si polan itu ditoreh tangannya, pasti terpancut darah berwarna hijau.”

Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, Mohd. Dzahar merupakan seorang SMR yang telah banyak berjasa kepada TD terutama dalam mengekal serta mempertingkatkan tahap disiplin anggota-anggota perkhidmatan itu.

“Mohd. Dzahar telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan. Beliau juga telah melalui zaman pemodenan TD yang pesat.

“Selain itu, Mohd. Dzahar juga telah menjadi perantara yang baik yang menghubungkan pemerintahan tertinggi TD dengan anggota-anggota LLP.

“Justeru, TD mengalu-alukan kehadiran Cik (panggilan untuk jawatan PW) Mohd. Dzahar pada bila-bila masa bagi berkongsi pandangan dan buah fikiran beliau untuk penambahbaikan pasukan,” jelasnya semasa berucap meraikan bekas SMR TD itu.

Begitulah penghormatan yang diberi oleh ‘bos nombor satu TD' itu kepada Mohd. Dzahar.

Dalam pada itu mengenai rancangan masa hadapannya, Mohd. Dzahar memberitahu, beliau hanya mahu berehat di rumah buat sementara waktu sebelum memikirkan perkara terbaik buat dirinya.

Difahamkan, beliau juga akan menjalani kursus persediaan sebelum bersara secara rasmi pada 16 Januari tahun hadapan.

Mengenai misainya yang melenting pula, beliau belum memikirkan untuk memotongnya pada waktu terdekat.



“Biarlah ia (misai) kekal sebegini. Saya selesa dengan penampilan ini kerana ia telah menjadi sebahagian daripada identiti saya untuk sekian lama.

“Bukan, ia tidak bertujuan untuk menggerunkan anggota-anggota bawahan semata-mata tetapi lebih kepada penampilan diri dan tradisi di dalam Rejimen Sarjan Mejar,” katanya menjawab soalan nakal wartawan.

Perbarisan sempena perpisahan Mohd. Dzahar di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur itu disertai seramai 371 orang daripada empat kontinjen iaitu Markas TD, Kontinjen Pemerintahan TD, Kontinjen Pemerintahan Medan TD dan Kontinjen Pemerintahan Lojistik TD.

Cuaca yang redup pagi itu seakan-akan memahami perasaan sayu Mohd. Dzahar meninggalkan perkhidmatan.

Mohd. Dzahar digantikan oleh PW I, Musa Harun sebagai ketua kepada kesemua anggota LLP dalam TD.

oleh Raja Syahrir Abu Bakar

No comments: