Tuesday, August 5, 2008

TD MUNCUL JUARA OLAHRAGA ATM

Photobucket
ZULKIFELI Mohd. Zain (baju jingga, tengah) bersama-sama Kontinjen Olahraga TD meraikan kejuaraan pasukan di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Teriakan perang Kontinjen Olahraga Tentera Darat (TD) yang berbunyi NO MERCY! nyata membangkitkan semangat pasukan berkenaan pada Kejohanan Olahraga ATM Ke-45 yang berlangsung pada 24 sehingga 26 Jun lalu.

Teriakan tersebut menjadi pemangkin kepada perkhidmatan itu sehingga membolehkan mereka menghasilkan satu pencapaian di luar dugaan, melebihi kecemerlangan sukan pada tahun-tahun sebelumnya.

Dalam kejohanan yang disertai kesemua perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini, saingan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak boleh dipandang sepi.

Ini kerana selain TD, TLDM dan TUDM juga mempunyai atlet-atlet yang berbakat besar serta mencapai tahap profesional sehingga mewakili Malaysia ke temasya Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand dan Sukan Malaysia 2008 di Terengganu, baru-baru ini.

Sebaik Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal menyempurnakan upacara perasmian kejohanan di Stadium Panasonic, Shah Alam, saingan di antara ketiga-tiga perkhidmatan ‘tulang belakang’ pertahanan negara itupun bermula.

Tamatnya hari pertama kejohanan menyaksikan TD mendahului saingan terdekat iaitu TLDM dari segi pungutan pingat dengan kelebihan 10 pingat emas.

Pada hari kedua kejohanan pula, berita tidak rasmi memberitahu bahawa TD terus mengungguli dan mendahului TLDM dengan kelebihan 15 pingat emas.

Pada hari terakhir kejohanan pula, TD disahkan sebagai johan kejohanan dengan memungut 32 pingat emas daripada 44 acara yang dipertandingkan. Selain itu, TD juga mengungguli pungutan pingat pingat lain dengan 25 perak serta 26 gangsa.

Saingan terdekat yang menduduki tempat kedua pula ialah TLDM dengan pungutan 12 pingat emas, 20 perak dan 13 gangsa.

Dari segi pencapaian atlet individu pula, TD terus mempamerkan kehebatan mereka apabila peserta-pesertanya berjaya memperbaharui 15 rekod kejohanan serta empat rekod ATM.

Antaranya, ia dilakukan menerusi acara lompat bergalah lelaki melalui Prebet (Pbt.) Mohd. Aiyuha Sulaiman; acara 3000 meter (m) lari berhalangan wanita melalui Lans Koperal (LKpl.) Angela ak Kundang; dan lompat kijang wanita serta heptatlon wanita, kedua-duanya melalui Pbt. Norena Damneon.

Norena juga telah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Kejohanan kali ini di atas kecemerlangannya itu.

Selain itu, kemenangan TD juga diserikan dengan penganugerahan olahragawati kejohanan melalui Pbt. Siti Fatimah Mohammad yang memenangi pingat emas dalam acara lumba lari 100m, 200m, 4 x 100m dan 4 x 400m.

Sementara itu, PTM Vikkaram Sadasivam dari TLDM telah dinobatkan sebagai Olahragawan Kejohanan setelah menggondol pingat emas dalam acara 5000m, 10,000m dan 3,000m lari berhalangan.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin yang turut hadir meraikan kemenangan TD di upacara penutup mengucapkan tahniah kepada para jurulatih atlet pasukan.

Baginya, pencapaian tim TD mengungguli kejohanan adalah sesuatu yang membanggakan serta harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Pengerusi Persatuan Olahraga TD, Kolonel Kamarol Fauzi Mohd. Said pula sangat berbangga dengan pencapaian atlet-atlet TD kerana pasukan hanya menyasarkan pungutan 27 pingat emas sebelum bermulanya kejohanan.

Tambah beliau, kemenangan ini tidak mungkin dicapai tanpa strategi yang teratur serta semangat juang melalui latihan yang berterusan.

“Moto NO MERCY telah berjaya ditanamkan di kalangan atlet TD dan ia telah terbukti melalui kemenangan yang begitu besar.

“Kesungguhan para atlet dan jurulatih serta semangat kesukanan yang tinggi telah membantu pasukan cemerlang dalam setiap acara yang dipertandingkan,’’ katanya yang juga merupakan Pengarah Kor Armor TD.

Oleh Leftenan Kolonel Padman Bashkaran

No comments: