Tuesday, August 5, 2008

ANGGOTA TENTERA PERLU IKUTI POLITIK

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Anggota tentera diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air bagi mengelakkan diri daripada terpedaya dengan pergolakan semasa.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, pengetahuan mengenai isu politik adalah penting bagi menghindari warga tentera daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sepatutnya.

''Angkatan tentera adalah organisasi yang bersifat berkecuali. Kita berdiri di belakang kerajaan yang memerintah bagi menghormati pilihan rakyat (melalui pilihan raya).

''Walaupun begitu, pengetahuan mengenai isu politik semasa adalah penting agar kita sentiasa bersedia bertindak sekiranya diarahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Perisytiharan Perjawatan Baru Lima Batalion Infantri Standard (BIS) Tentera Darat di Kem Sungai Besi, di sini hari ini.

Lima batalion itu adalah Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja (1 RAMD), 23 RAMD, 24 RAMD, 25 RAMD dan Rejimen Kesembilan Renjer Diraja (9 RRD).

Kelima-lima batalion tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai Batalion Infantri Biasa yang ketinggalan dari segi perbezaan gred gaji dan kemudahan lain berbanding BIS sejak 1998.

Namun, selepas penstrukturan semula, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan sebanyak 552 perjawatan baru bagi lima batalion itu yang turut menyaksikan kenaikan gaji dan pertambahan kemudahan lain.

Dalam pada itu, perbarisan tersebut diketuai Leftenan Kolonel Nazli Alias dan melibatkan 323 anggota lain-lain pangkat serta 21 orang pegawai.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_03.htm

No comments: