Tuesday, August 5, 2008

KUASA TEMBAKAN BUKTI KEKUATAN ATM

Photobucket
KEHENINGAN pagi di sekitar kawasan hutan Asahan, Melaka, yang sebahagiannya terletak dalam Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini sedikit `terganggu' dengan tembakan dan letupan pelbagai persenjataan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
ANGGOTA-anggota TD bekerjasama semasa melancarkan peluru berpandu anti kereta kebal Eryx.

Bunyi-bunyi dentuman itu yang jauh mengatasi kicauan burung dan unggas ‘singgah’ ke telinga para pemerhati dan penduduk sekitar, `hasil' acara tahunan Demonstrasi Kuasa Tembakan ATM.

Sasaran yang terdiri daripada trak dan lori tentera terpakai itu berada pada jarak 300 meter (m) sehingga kira-kira enam kilometer (km) dari tempat tembakan dilancarkan, serta ditanda dengan nombor 1 hingga 10.

Memulakan acara iaitu pada Segmen Dinamik, sebanyak 14 kereta perisai model Adnan ACV 300 (Adnan) dari Kompeni Infantri Mekanis Tentera Darat (TD) mengambil tempat di hadapan Pos Pemerhati Tiga (OP3) di lapang sasar tersebut.

Pada segmen ini, sebahagian anggota tentera meluru keluar daripada Adnan seterusnya mempamerkan kecekapan menggunakan raifal Steyr 5.56 milimeter (mm).

Selain itu, anggota lain pula mendemonstrasikan penggunaan pelancar grenad 40 mm yang mempunyai keupayaan efektif tembakan sejauh 275m.

Beberapa ketika kemudian, seorang pengendali mesin gun berat (HMG) 12.77mm muncul dari ruang atas sebuah Adnan dan terus membedil tepat sasaran yang jaraknya kira-kira 2,000 m dari lokasi tembakan.

Ketika itu, para hadirin yang menyaksikan demonstrasi berkenaan dari OP3 dilihat ‘terpukau’ dengan ketangkasan para anggota tentera berkenaan.

Selepas itu, kenderaan tempur sokongan pula menampilkan aksi mereka antaranya menerusi G Wagon dan motosikal scrambler yang dioperasikan oleh dua anggota.

Aksi para pengendali G Wagon juga menarik perhatian para hadirin apabila mereka menunjukkan keupayaan menggunakan pelancar grenad automatik 40 mm yang diletakkan di atas kenderaan itu.

Selain mempamerkan ketepatan melancarkan roket dari atas kenderaan, para pengendali G Wagon juga menunjukkan keupayaan memusnahkan sasaran dengan senjata tersebut dari permukaan tanah.

Hasilnya, lori-lori terpakai di sasaran 3 yang jaraknya kira-kira 1,500 m dari tempat grenad dilancarkan musnah sama sekali, bertepatan dengan jarak ‘membunuh’ senjata berkenaan iaitu dalam lingkungan lima meter.

Selesai giliran Kompeni Infantri, Kor Armor Diraja pula tampil mempamerkan kekuatan mereka dengan penampilan kereta-kereta perisai seperti RPZ Condor dan Stormer.

Kenderaan-kenderaan sokongan tempur ini menghasilkan dentuman yang lebih kuat sehingga memaksa para hadirin menekap tangan ke telinga. Ini dilakukan mereka walaupun setelah dibekalkan dengan alat pelindung telinga (ear plug).

Selepas kenderaan armor, peralatan artileri dalam ATM seperti Howitzer 105 mm meriam G5 155 mm MK III pula muncul mempamerkan kehebatan masing-masing.

ATM juga turut mempamerkan peluru berpandu anti kereta kebal seperti Metis M, Eryx dan Bakhtar Shikan untuk menunjukkan keupayaan mereka.

Anggota-anggota yang bertanggungjawab melakukan penembakan kemudiannya membidik sasaran masing-masing selepas peluru berpandu dipasang.

Beberapa detik kemudian peluru berpandu anti kereta kebal masing-masing meluncur pantas keluar dari tiub pelancar dan menghentam ‘tepat kenderaan musuh.’

Pada segmen kedua pula iaitu bantuan pertahanan udara, jet pejuang F/A 18D Hornet dan Hawk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mempamerkan aksi mereka.

Menerusi siaran radio antara juruterbang dengan pusat kawalan yang disambungkan dengan pembesar suara, para hadirin dapat mendengar dengan jelas komunikasi antara mereka.

Antara yang menarik ialah: “Peluru berpandu ke sasaran akan saya lancarkan dalam masa lima saat dari sekarang, tiga, dua...'' dan BOM! Kepulan asap hitam ‘menghias’ ruang udara sasaran.

Selain itu, aset-aset TUDM tersebut turut melakukan lintasan hormat kepada para hadirin yang terdiri daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusuf, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan pengerusi penyelaras demonstrasi itu, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Selain para pemimpin politik dan tentera tempatan itu, demonstrasi tersebut turut dihadiri oleh para pegawai tertinggi tentera dari luar negara.

Menurut Ahmad Hasbullah, demonstrasi berkenaan antaranya bertujuan memberikan pendedahan kepada para pegawai ATM dan angkatan tentera luar yang sedang mengikuti kursus di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) siri 37/2008.


Katanya, kepentingan acara itu buat pegawai tentera Malaysia ialah bagi mendedahkan mereka dengan pelbagai jenis persenjataan yang dimiliki ATM agar sentiasa bersedia menggunakannya dalam sebarang situasi.

“Demonstrasi ini juga melibatkan 2,000 anggota dan pegawai, lebih 300 kenderaan pelbagai jenis, serta RM18 juta dalam bentuk kos operasi,'' jelasnya.

Bagi Muhammad Ismail, kos bukan faktor utama dalam pelaksanaan operasi-operasi TD tetapi keupayaan mengalahkan musuh dengan aset terkini merupakan agenda nombor satunya.

Bayangkan jika negara tidak dilengkapkan dengan persenjataan sebegini. Akan mampukah kita untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air waima negara yang kecil sekalipun?

Oleh Raja Syahrir Abu Bakar

No comments: